Kisah-kisah yang menunjukkan ketaqwaan

Dalam sebuah hadithnya,Rasulullah SAW bersabda;
"Perasaan takutkan Allah merupakan sumber kebijaksanaan."

Ibnu Umar sering menangis kerana takutkan Allah sehingga matanya menjadi buta.Katanya kepada seorang yang selalu memerhatikannya:
"Agaknya kamu hairan melihat aku menangis?Matahari pun menangis kerana takutkan Allah."

Pada suatu hari,Nabi SAW telah melalui seorang sahabatnya yang sedang membaca al-Quran.Apabila si pembaca tadi sampai kepada ayat:
"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah"(ar-Rahman:37)
Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak lalu dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:
"Aduh,apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah?Malang sungguh nasibku ini."
Nabi SAW berkata kepadanya:
"Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama."

Jawapan yang sama juga telah diberi oleh Nabi SAW kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan solat Tahajjud.

Pada suatu hari,Abdullah bin Rawahah telah menangis.Isterinya turut menangis bersama-sama.Dia bertanya kepada isterinya:
"Mengapa engkau menangis?"
Jawab isterinya:
"Apa yang menyebabkan engkau menangis itulah yang menyebabkan aku menangis."
Kata Abdullah:
"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui titian sirat,aku menangis.Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak."

Pada suatu ketika,Zurarah bin Aun sedang bersembahyang di masjid.Apabila ia membaca ayat:
"Maka apabila ditiup sangkakala.Maka yang demikian,di hari itu,hari yang payah."(al-Muddathir:8-9)
Dia jatuh lalu meninggal dunia.

Dalam salah satu sembahyangnya,Khulaid dalam qiraatnya telah membaca ayat:
"Tiap-tiap jiwa akan merasai mati..."(al-Ankabut)
Dia mengulangi ayat itu beberapa kali.Tiba-tiba terdengar suara orang mengatakan kepadanya:
"Berapa kali mesti engkau ulangi ayat itu?Bacaanmu telah pun menyebabkan kematian empat jin."

Dengarlah kata Nabi SAW dan para sahabat baginda mengenai perasaan takut kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda:
"Segala-galanya takut akan orang yang takutkan Allah.Sebaliknya,segala-galanya menjadi sumber ketakutan kepada orang yang takutkan selain dari Allah."

Berkata Yahya bin Mu'az:
"Seandainya seorang manusia itu takutkan neraka sebanyak ia takutkan kemiskinan,ia akan memasuki syurga."

Berkata Abu Sulaiman Darani:
"Kecelakaan bagi jiwa yang kosong dari perasaan takut kepada Allah."

Nabi SAW bersabda:
"Wajah yang dibasahi air mata kerana takutkan Allah,walaubagaimana sedikit pun air mata itu,terselamat dari api neraka."

Nabi SAW bersabda:
"Apabila seorang Muslim menggeletar kerana takutkan Allah,gugurlah dosa-dosanya sebagaimana daun-daun kering berguguran."

Aqbah bin Amir berkata kepada Nabi SAW:
"Tunjukkanlah aku ke jalan keselamatan."
Nabi SAW menjawab:
"Jangan banyak bercakap dan tinggallah di rumah sambil menangis mengenang dosa-dosamu."

Aisyah ra telah bertanya kepada Nabi SAW:
"Adakah di antara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa hisab?"
"Ya,"jawab Nabi SAW."dia ialah orang yang banyak menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan."

Nabi SAW bersabda:
"Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah.Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang tumpah kerana berjuang di jalanNya."

Menurut sebuah hadith,ada tujuh jenis manusia yang dapat melindungi diri di bawah naungan Arasy.Salah seorang daripada mereka ini ialah orang yang menangis apabila berseorangan kerana takutkan Allah dan kerana menyesali dosa-dosanya yang telah lampau.

Umar ra berkata:
"Kalau pada hari perhitungan diisytiharkan bahawa semua manusia kecuali seorang sahaja akan memasuki neraka,sudah tentu dosa-dosaku akan menyebabkan aku menyangka yang si malang itu ialah aku sendiri.Sebaliknya,kalau diisytiharkan yang semua manusia kecuali seorang sahaja akan memasuki syurga,sudah tentu aku akan berharap yang orang yang menjadi pilihan Allah itu ialah aku sendiri."

Kisah Umar ra di atas menunjukkan betapanya perlunya perasaan takut bercampur dengan harapan ini terselit di hati umat Islam yang ingikan kebahagiaan akhirat.Bila menghadapi maut pula,harapan akan rahmat Allah sepatutnya melebihi perasaan takut tadi.Nabi SAW bersabda:
"Tidak seorang pun yang sepatutnya mati tanpa harapan yang kuat akan rahmat Allah SWT."

Apabila Imam Ahmad bin Hambal sedang menghadapi maut,beliau menggesa anaknya supaya membaca hadith-hadith Nabi SAW yang matan-matannya menekankan tentang perlunya ada harapan akan rahmat Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

Muslimah - Nazrey Johani

Hadith 25

Cara-cara untuk berjihad