Sunday 1 August 2021

Mengapa Umat Islam Dihina (terjemahan petikan audio ceramah)

Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah, kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung kepada pertanian lalu kamu meninggalkan jihad, nescaya Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu dan Dia tidak akan mencabutnya daripada kamu sehinggalah kamu kembali (mengutamakan hukum) kepada agama kamu (berbanding helah riba dan kecintaan kepada dunia). (Riwayat Abu Daud)

Sudah tentulah wahai saudaraku yang dimuliakan Allah, kita beriman bahawa Allah S.W.T. adalah pemilik segala sesuatu, Dia memuliakan siapa pun yang Dia kehendaki dan Dia hinakan siapa pun yang Dia kehendaki. Di dalam hadis ini, dengan wahyu dari Allah S.W.T. baginda Rasulullah S.A.W. menyampaikan bahawasanya jika kita melakukan sesuatu yang dilarang, kita membenarkan perkara yang haram, serta meninggalkan tugas kepada agama, berjihad di jalan Allah, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita. 

Dia yang Maha Memuliakan dan Dia yang Maha Menghinakan. Dia yang memiliki kekuasaan di atas segala sesuatu. 

[Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu?...] (Surah Ali ‘Imran, ayat 160)

Dia yang Maha Meninggikan dan Dia yang Maha Merendahkan.

Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah (sejenis urusan jual beli dengan riba’), jika kamu kaum Muslimin melakukan perbuatan yang serupa dengan manusia lain, membenarkan yang haram, kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung kepada pertanian, itu yang menjadi keutamaan dan fungsi kamu, itu yang diberi perhatian, keutamaan, difikirkan melebihi yang lain, mencintai dunia dan syahwat, kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung kepada pertanian lalu kamu meninggalkan jihad, sedangkan kalian adalah ummah yang diberi tanggungjawab berjihad, 

[Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar – benarnya. Dia telah memilih kamu,...] (Surah al-Hajj, ayat 78)

ummah yang diberi tugas berdakwah, 

[Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang – orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin,...] (Surah Yusuf, ayat 108)

ummah yang menjadi pendukung agama Allah, 

[Wahai orang – orang yang beriman! Jadilah kamu penolong – penolong (agama) Allah...] (Surah as-Saff, ayat 14)

jika kamu tinggalkan tugasan yang telah Allah berikan kepada kamu dan kamu mengejar urusan dunia serta bersenang hati dengannya, Allah akan menghinakan kamu, kehinaan secara keseluruhan. Apa – apa pangkat tidak pun penting, apa yang penting adalah Allah telah menimpakan kehinaan ke atas diri kamu dan Allah tidak akan mencabutnya, kehinaan itu tidak akan berubah sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu, sehingga kamu kembali melaksanakan tugasan berjihad kamu, yang mana daripadanya agama ini akan terus hidup. Sehingga kamu kembali kepada agama (din) kamu.

Sekarang wahai para pencinta agama Allah, pintunya telah dibuka. Pintunya telah dibuka kepada semua. Kita boleh mencuba seperti mana yang telah dilakukan oleh ibu bapa kita, seperti mana yang telah dilakukan oleh datuk nenek kita, dan seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan manusia sekarang untuk menamatkan kehinaan yang ditimpakan ke atas kita. Pintunya telah pun dibuka, maka cubalah dengan apa pun pangkat dan kuasa yang kalian ada, cubalah. Akan tetapi seperti mana sabda baginda Rasulullah S.A.W. yang tidaklah yang diucapkannya itu menurut keinginannya, tidak lain itu adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya) berkata: Allah tidak akan mencabut kehinaan ini, Dia tidak akan mencabutnya daripada kamu sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu. Kita boleh mencubanya jika mahu. 

Ibu bapa kita telah mencubanya, mereka telah melihat kehinaan ini ditimpakan sebelum kita dilahirkan ke dunia lagi, mereka telah melihat kehinaan ketika Zionis memasuki negara kita (Palestin) dan menguasai tempat suci kita bahkan masih lagi menguasainya sedangkan kita orang Arab, kita mempunyai harta yang banyak, jumlah (kekuatan) yang ramai, dan sebahagian daripada kita melantunkan slogan itu dan ini, dan kita telah mencuba, akan tetapi kita hanya mendapat lebih banyak kehinaan. Dan sekarang pintunya telah dibuka kembali.

Disebabkan itulah wahai saudara – saudaraku yang dimuliakan Allah, kita sepatutnya mengetahui hakikat tentang agama kita, ketika mana kita menyeru kepada Allah, menyeru untuk kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, kita menyeru hanya kepada satu – satunya sebab iaitu untuk mencapai kemuliaan di dunia dan akhirat. Itulah satu – satunya sebab yang tidak perlu untuk kita kaji dan satu – satunya sebab yang tiada bandingan dengannya seperti mana yang pernah diucapkan oleh Saidina Umar al-Farouq (pemisah antara hak dan batil),”Kita adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, di dalamnya (Islam) kita menerima kemuliaan, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan menghina kita”. 

Ia jelas, kamu boleh mencuba jika mahu mencuba.

Kata – kata itu diucapkan oleh Saidina Umar al-Farouq di saat kaum Muslimin tidak mempunyai sebarang kekuasaan, tidak mempunyai jumlah (kekuatan) yang ramai, tidak mempunyai sebab, tidak mempunyai peralatan, tidak mempunyai teknologi yang canggih, tiada satu pun. 

[Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf...] (Surah al-Jumu’ah, ayat 2)

walaupun dalam keadaan sedemikian rupa Saidina Umar berkata, Kita adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Punca kemuliaan kita adalah Islam. Sebab kemenangan kita adalah Islam. Sebab ketinggian (kehebatan) kita adalah Islam. Islam dengan kefahaman yang sebenar, Islam yang sempurna, Islam yang sebenar – benarnya, Islam yang (kita diseru), 

[...Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan...] (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Islam yang (mana dikatakan), 

[Dan tidaklah pantas bagi laki – laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka...] (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Islam yang (mana disebut), 

[...“Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepada-Mu tempat kami kembali”.] (Surah al-Baqarah, ayat 285)

Islam yang (mana disuruh), 

[Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka. Dan waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu...] (Surah al-Maidah, ayat 49)

Islam yang (mana diberikan amaran), 

[Katakanlah, “Jika bapa – bapamu, anak – anakmu, saudara – saudaramu, isteri – isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumah – rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang – orang fasiq.] (Surah at-Taubah, ayat 24).

- Teks ini telah diterjemahkan oleh pelajar IPT tempatan.

CINTA ILAHI - PUJANGGA

  Kata pujangga, cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarannya tampak sekali. Ia mampu mempengaruhi pikiran sekaligus men...