Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah,
kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung kepada pertanian lalu kamu
meninggalkan jihad, nescaya Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu dan Dia
tidak akan mencabutnya daripada kamu sehinggalah kamu kembali (mengutamakan hukum) kepada agama
kamu (berbanding helah riba dan kecintaan kepada dunia). (Riwayat Abu Daud)
Sudah tentulah wahai saudaraku yang dimuliakan
Allah, kita beriman bahawa Allah S.W.T. adalah pemilik segala sesuatu, Dia
memuliakan siapa pun yang Dia kehendaki dan Dia hinakan siapa pun yang Dia
kehendaki. Di dalam hadis ini, dengan wahyu dari Allah S.W.T. baginda
Rasulullah S.A.W. menyampaikan bahawasanya jika kita melakukan sesuatu yang
dilarang, kita membenarkan perkara yang haram, serta meninggalkan tugas kepada
agama, berjihad di jalan Allah, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.
Dia yang Maha Memuliakan dan Dia yang Maha Menghinakan. Dia yang memiliki
kekuasaan di atas segala sesuatu.
[Jika
Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah
membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu
setelah itu?...] (Surah Ali ‘Imran,
ayat 160).
Dia yang Maha Meninggikan dan Dia yang Maha Merendahkan.
Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah (sejenis
urusan jual beli dengan riba’), jika kamu kaum Muslimin melakukan perbuatan
yang serupa dengan manusia lain, membenarkan yang haram, kamu mengikuti ekor
lembu dan kamu cenderung kepada pertanian, itu yang menjadi keutamaan dan
fungsi kamu, itu yang diberi perhatian, keutamaan, difikirkan melebihi yang
lain, mencintai dunia dan syahwat, kamu mengikuti ekor lembu dan kamu cenderung
kepada pertanian lalu kamu meninggalkan jihad, sedangkan kalian adalah ummah
yang diberi tanggungjawab berjihad,
[Dan
berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar – benarnya. Dia telah
memilih kamu,...] (Surah al-Hajj,
ayat 78),
ummah yang diberi tugas berdakwah,
[Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang – orang yang
mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin,...] (Surah Yusuf, ayat 108),
ummah yang
menjadi pendukung agama Allah,
[Wahai
orang – orang yang beriman! Jadilah kamu penolong – penolong (agama) Allah...]
(Surah as-Saff, ayat 14),
jika kamu
tinggalkan tugasan yang telah Allah berikan kepada kamu dan kamu mengejar
urusan dunia serta bersenang hati dengannya, Allah akan menghinakan kamu, kehinaan
secara keseluruhan. Apa – apa pangkat tidak pun penting, apa yang penting
adalah Allah telah menimpakan kehinaan ke atas diri kamu dan Allah tidak akan mencabutnya,
kehinaan itu tidak akan berubah sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu,
sehingga kamu kembali melaksanakan tugasan berjihad kamu, yang mana daripadanya
agama ini akan terus hidup. Sehingga kamu kembali kepada agama (din) kamu.
Sekarang wahai para pencinta agama Allah,
pintunya telah dibuka. Pintunya telah dibuka kepada semua. Kita boleh mencuba
seperti mana yang telah dilakukan oleh ibu bapa kita, seperti mana yang telah
dilakukan oleh datuk nenek kita, dan seperti mana yang dilakukan oleh
kebanyakan manusia sekarang untuk menamatkan kehinaan yang ditimpakan ke atas
kita. Pintunya telah pun dibuka, maka cubalah dengan apa pun pangkat dan kuasa
yang kalian ada, cubalah. Akan tetapi seperti mana sabda baginda Rasulullah
S.A.W. yang tidaklah yang diucapkannya itu menurut keinginannya, tidak lain itu
adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya) berkata: Allah tidak akan mencabut
kehinaan ini, Dia tidak akan mencabutnya daripada kamu sehinggalah kamu kembali
kepada agama kamu. Kita boleh mencubanya jika mahu.
Ibu bapa kita telah
mencubanya, mereka telah melihat kehinaan ini ditimpakan sebelum kita
dilahirkan ke dunia lagi, mereka telah melihat kehinaan ketika Zionis memasuki
negara kita (Palestin) dan menguasai tempat suci kita bahkan masih lagi
menguasainya sedangkan kita orang Arab, kita mempunyai harta yang banyak,
jumlah (kekuatan) yang ramai, dan sebahagian daripada kita melantunkan slogan
itu dan ini, dan kita telah mencuba, akan tetapi kita hanya mendapat lebih
banyak kehinaan. Dan sekarang pintunya telah dibuka kembali.
Disebabkan itulah wahai saudara – saudaraku yang
dimuliakan Allah, kita sepatutnya mengetahui hakikat tentang agama kita, ketika
mana kita menyeru kepada Allah, menyeru untuk kembali kepada Al-Quran dan
As-Sunnah, kita menyeru hanya kepada satu – satunya sebab iaitu untuk mencapai
kemuliaan di dunia dan akhirat. Itulah satu – satunya sebab yang tidak perlu
untuk kita kaji dan satu – satunya sebab yang tiada bandingan dengannya seperti
mana yang pernah diucapkan oleh Saidina Umar al-Farouq (pemisah antara hak dan
batil),”Kita adalah satu kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam, di dalamnya
(Islam) kita menerima kemuliaan, jika kita mencari kemuliaan selain daripada
Islam, Allah akan menghina kita”.
Ia jelas, kamu boleh mencuba jika mahu
mencuba.
Kata – kata itu diucapkan oleh Saidina Umar al-Farouq
di saat kaum Muslimin tidak mempunyai sebarang kekuasaan, tidak mempunyai
jumlah (kekuatan) yang ramai, tidak mempunyai sebab, tidak mempunyai peralatan,
tidak mempunyai teknologi yang canggih, tiada satu pun.
[Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf...] (Surah al-Jumu’ah, ayat 2),
walaupun
dalam keadaan sedemikian rupa Saidina Umar berkata, Kita adalah satu kaum yang
dimuliakan Allah dengan Islam. Punca kemuliaan kita adalah Islam. Sebab kemenangan
kita adalah Islam. Sebab ketinggian (kehebatan) kita adalah Islam. Islam dengan
kefahaman yang sebenar, Islam yang sempurna, Islam yang sebenar – benarnya,
Islam yang (kita diseru),
[...Masuklah ke
dalam Islam secara keseluruhan...] (Surah al-Baqarah, ayat 208),
Islam
yang (mana dikatakan),
[Dan tidaklah
pantas bagi laki – laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah
dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain)
bagi mereka tentang urusan mereka...] (Surah
al-Ahzab, ayat 36),
Islam yang (mana disebut),
[...“Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan
kepada-Mu tempat kami kembali”.] (Surah
al-Baqarah, ayat 285),
Islam yang (mana disuruh),
[Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa
yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka. Dan
waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap
sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu...] (Surah al-Maidah, ayat 49),
Islam yang
(mana diberikan amaran),
[Katakanlah,
“Jika bapa – bapamu, anak – anakmu, saudara – saudaramu, isteri – isterimu,
keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu bimbangkan
kerugiannya, dan rumah – rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu
cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah
sampai Allah memberikan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang – orang fasiq.] (Surah
at-Taubah, ayat 24).
- Teks ini telah diterjemahkan oleh pelajar IPT tempatan.